Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Sebelum kita membincangkan tajuk di atas, kita perlu tahu apa itu antibiotik.
Antibiotik ialah bahan kimia yang dibuat untuk menentang bakteria. Antibiotik selalunya dalam bentuk pil dan setiap antibiotik adalah spesifik dan akan menentang bakteria yg tertentu sahaja. Dalam konteks ini, jika anda mempunyai antibiotik untuk jangkitan luka, tidak semestinya antibiotik itu berkesan untuk merawat penyakit yang lain. Oleh sebab itu, jika anda sakit, dapatkan ubat di kaunter farmasi atau bawa sample ubat ke farmasi untuk bertanya lebih lanjut mengenai keberkesanan ubat tersebut untuk merawat sakit anda.
Jadi mengapa setiap kali anda ke kaunter farmasi dan diserahkan ubat antibiotik, ahli farmasi akan menyatakan bahawa antibiotik perlu dihabiskan?
Ini kerana, walaupun anda sudah berasa sihat sebagai contoh anda sudah pulih dari batuk, badan anda tidak semestinya bebas 100% dari bakteria berkenaan. Apabila anda berhenti mengambil antibiotik, lebihan bakteria yang masih berada di badan anda akan mula melakukan proses mutasi, iaitu proses dimana bakteria berkenaan akan mengimunkan diri mereka dari antibiotik yang anda ambil sebelum ini. Ini membuatkan bakteria lebih susah dibunuh. Dos antibiotik juga terpaksa ditingkatkan agar anda dapat pulih.
Perkara ini akan mengundang bahaya pada masa akan datang kerana jika bakteria semakin imun kepada semua jenis ubat, anda tidak mampu untuk membunuh bakteria berkenaan dan anda tidak akan pulih dari sakit atau lebih parah lagi akan membawa risiko jangkitan yang teruk sehingga membawa kepada kematian.
Jadi, anda wajiblah menghabiskan antibiotik sekiranya anda dibekalkan ubat berkenaan dari kaunter farmasi. Jangan berhenti ambil walaupun anda sudah berasa sihat. Bagi yang masih sakit walaupun sudah menghabiskan antibiotik yang dibekalkan, ini mungkin bermaksud, bakteria dalam badan anda imun pada antibiotik dan anda perlu mengambil antibiotik yang berdos lebih tinggi untuk kembali sihat.
Seperti yang dinyatakan di atas, antibiotik perlulah dihabiskan. Seharusnya dalam peti simpanan ubat anda, antibiotik tidak patut wujud. Sekiranya ada, sebaiknya anda buang kerana anda bukanlah seorang doktor untuk mengetahui anda patut ambil ubat itu atau tidak dan antibiotik itu mungkin sudah tamat tempoh.
Kesimpulannya, sekiranya anda sakit, dapatkan ubat di farmasi, dan jika dibekalkan dengan antibiotik, habiskannya mengikut dos yang ditetapkan.
Harap membantu. Sekian.
Comments
Post a Comment